
Mengendalikan Pendedahan dengan Berhati-hati
Apa yang perlu dikatakan, apa yang tidak boleh dikatakan, dan bagaimana respons anda boleh membuat perbezaan.
DENGAR
Apabila seorang kanak-kanak memberitahu anda bahawa mereka telah didera, jangan mencelah mereka. Berikan mereka ruang untuk bercakap. Jangan gunakan frasa seperti “Awak tak patut cakap macam tu” atau “Awak pasti?”. Ia akan menghalang mereka daripada meluahkan perasaan. Bukan mudah bagi mereka untuk bersuara kerana pendera mungkin telah memberi amaran atau mengugut mereka. Sokong mereka dengan memberi mereka perhatian sepenuhnya.
PERCAYA
Kanak-kanak jarang mereka-reka cerita. Mereka teragak-agak untuk bercerita kerana mereka takut tiada siapa yang akan mempercayainya. Mempercayai seorang kanak-kanak adalah langkah utama dalam membantunya mengatasi trauma tersebut. Kenyataan seperti “Saya percaya awak” atau “Ini bukan salah awak” akan membantu proses penyembuhan.
BERTENANGLAH
Mengetahui bahawa seorang kanak-kanak telah didera secara seksual mungkin membuat anda terluka dan marah kepadanya. Tetapi jangan tunjukkannya, kerana kanak-kanak itu mungkin fikir anda marah kepadanya. Kekal tenang akan membantu kanak-kanak itu berasa selamat. Jaminan seperti “Saya minta maaf atas perkara ini yang berlaku kepada awak” atau “Mari kita lihat apa yang boleh kita lakukan” boleh menggalakkan kanak-kanak itu untuk berterus terang.
JANGAN PERNAH SALAHKAN
Jangan sekali-kali menyalahkan, menghukum, atau memalukan kanak-kanak itu. Jika penderaan itu berlaku akibat kanak-kanak itu tidak mematuhi anda, jangan berkata “Saya sudah beritahu awak” atau “Kalau awak dengar cakap saya, ini tidak akan berlaku”.
MENEGASKAN
Kanak-kanak yang didera sering keliru tentang perasaan mereka akibat dimanipulasi oleh pendera mereka. Mereka mesti dibenarkan dan digalakkan untuk meluahkan apa sahaja yang mereka rasa. Perasaan mereka mesti diambil serius dan ditegaskan. Kenyataan seperti "Saya tahu ini bukan mudah" dan "Awak sangat berani untuk memberitahu saya semua ini" menyampaikan empati, keprihatinan dan menyokong keperluan kanak-kanak.
SOKONGLAH
Bercakap tentang penderaan boleh menjadi traumatik seperti penderaan itu sendiri. Orang dewasa mesti memberi sokongan sebanyak mungkin kepada kanak-kanak itu, terutamanya apabila kanak-kanak itu mula berterus terang. Yakinkan mereka dengan mengatakan perkara seperti "Saya di sini untuk membantu anda" atau "Saya akan melalui ini bersama anda". Jangan lupa bahawa walaupun kanak-kanak itu tahu anda percaya dan akan menyokongnya sepenuhnya, mereka masih memerlukan jaminan bahawa anda masih menyayangi mereka dan tidak memandang mereka sebagai "kotor" atau menyalahkan mereka. Beritahu mereka bahawa anda mengambil berat. Beritahu mereka bahawa anda menyayangi mereka.
PERSEDIAKAN ANAK UNTUK APA YANG AKAN BERLAKU SETERUSNYA
Kanak-kanak yang didera berasa tidak berdaya. Mereka perlu tahu bahawa ada orang di sekeliling yang boleh membantu. Mereka juga mesti diberitahu apa yang boleh mereka lakukan, iaitu bagaimana untuk mengaitkan kejadian itu, siapa yang perlu diberitahu, dan sokongan apa yang diperlukan. Benarkan kanak-kanak itu mengambil bahagian dalam "kes" mereka sebanyak mungkin. Ini memberi mereka rasa tanggungjawab, kekuatan, dan kuasa untuk mengharungi dugaan yang akan datang.
DAPATKAN BANTUAN PERUBATAN DAN LAPORKAN PENDERAAN TERSEBUT
Adalah lebih baik untuk membawa kanak-kanak tersebut ke mana-mana hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan kecederaan fizikal. Hubungi juga Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Polis dengan segera.

