
Melaporkan kepada Hospital Kerajaan
Panduan langkah demi langkah untuk penjagaan perubatan, psikologi dan perlindungan yang akan diterima oleh anak anda - dan profesional yang terlibat dalam memastikan mereka selamat.
Apabila seorang kanak-kanak disyaki mengalami penderaan seksual, mendapatkan rawatan perubatan adalah langkah penting untuk memastikan keselamatan, kesejahteraan dan akses kepada penjagaan yang sesuai.
Di Malaysia, hospital kerajaan dilengkapi untuk menilai, merawat dan menyokong mangsa kanak-kanak melalui pasukan perubatan terlatih serta prosedur yang ditetapkan demi menjaga kepentingan terbaik kanak-kanak.
Ke Mana Boleh Dapatkan Bantuan?
Kes penderaan seksual kanak-kanak yang disyaki boleh dilaporkan di:
- Jabatan Kecemasan dan Trauma (A&E)
- One-Stop Crisis Centre (OSCC) di Hospital Kerajaan
Perkhidmatan ini menyediakan rawatan perubatan segera, sokongan psikologi dan rujukan untuk penjagaan lanjut.
Di hospital yang mempunyai kemudahan tersebut, kes akan dikendalikan oleh pasukan SCAN (Suspected Child Abuse and Neglect).
Namun, tidak semua hospital kerajaan mempunyai pasukan SCAN, dan prosedur mungkin sedikit berbeza mengikut hospital.
Siapa Itu Pasukan SCAN?
Pasukan SCAN ialah kumpulan profesional pelbagai disiplin yang bekerjasama untuk menilai dan menyokong kanak-kanak yang didera. Pasukan ini mungkin terdiri daripada:
- Pakar Pediatrik
- Pakar Sakit Puan (Ginekologi)
- Pakar Psikiatri
- Pegawai Kerja Sosial Perubatan
- Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat
- Pegawai Polis
Pendekatan berpasukan ini memastikan kanak-kanak menerima rawatan perubatan, sokongan emosi dan perlindungan yang sewajarnya, termasuk memenuhi keperluan undang-undang dan kebajikan.
Apakah Peranan Mereka?
Peranan utama pasukan SCAN adalah untuk:
- Menilai keadaan fizikal dan psikologi kanak-kanak
- Memberikan rawatan perubatan dan sokongan emosi
- Mengatur rawatan susulan dan kaunseling
- Menyelaras dengan pihak kebajikan bagi memastikan keselamatan kanak-kanak
- Membantu proses undang-undang dengan mengutamakan kesejahteraan kanak-kanak
Semua ahli pasukan dilatih untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak secara lembut, mengikut kesesuaian umur dan dengan cara yang meyakinkan. Setiap langkah akan diterangkan dengan jelas supaya kanak-kanak berasa lebih selamat dan selesa sepanjang proses.
Langkah Demi Langkah: Apa Berlaku di Hospital?
1. Laporan Awal
Apabila tiba di hospital, maklumkan kes di unit A&E atau OSCC.
2. Penilaian Perubatan
Doktor A&E atau pakar pediatrik yang bertugas akan bercakap dengan kanak-kanak dan/atau ibu bapa atau penjaga.
Adalah membantu jika membawa:
- Salinan laporan Polis (jika sudah dibuat)
- Kad pengenalan atau sijil lahir kanak-kanak
- Kad pengenalan ibu bapa atau penjaga
Jika perlu, kanak-kanak mungkin dimasukkan ke wad untuk penilaian dan rawatan lanjut oleh pasukan SCAN.
3. Penilaian Menyeluruh
Pasukan SCAN mungkin akan menjalankan:
- Semakan terperinci sejarah dan keadaan kes
- Pemeriksaan fizikal, termasuk pemeriksaan ginekologi jika berkaitan
- Ujian darah, X-ray atau siasatan lain jika diperlukan
- Penilaian kesejahteraan emosi dan psikologi kanak-kanak
4. Rawatan, Perlindungan dan Susulan
Pasukan akan:
- Memberikan atau merujuk kepada rawatan perubatan yang sesuai
- Mengatur sokongan psikologi atau kaunseling
- Melaporkan kes kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah dan menyelaras untuk memastikan keselamatan kanak-kanak
- Menyediakan laporan perubatan kepada pihak Polis jika diminta
- Mengatur rawatan dan sokongan susulan
Doktor akan terangkan dengan jelas tujuan setiap pemeriksaan, ujian atau rawatan sebelum ia dilakukan.
Dalam sesetengah keadaan - terutamanya jika melibatkan kanak-kanak kecil - Sekiranya pemeriksaan tersebut dijangka menyebabkan ketidakselesaan, kesakitan atau tekanan emosi, doktor mungkin akan mencadangkan pemberian ubat pelali (untuk menenangkan) atau bius (untuk membuatkan kanak-kanak tidur sementara).
Ini bertujuan supaya:
- Pemeriksaan dapat dijalankan dengan lebih teliti dan sempurna
- Kanak-kanak mengalami kurang kesakitan
- Tekanan atau ketakutan emosi dapat dikurangkan
Secara ringkasnya, pihak doktor akan menerangkan semuanya terlebih dahulu, dan jika perlu, menggunakan ubat untuk memastikan proses tersebut lebih selamat dan kurang menakutkan untuk kanak-kanak.
Perlu Buat Laporan Polis Dahulu?
Mangsa kanak-kanak boleh dibawa terus ke mana-mana hospital kerajaan tanpa perlu membuat laporan Polis terlebih dahulu.
Jika penderaan disahkan, pihak hospital akan membuat laporan Polis. Namun, ada hospital yang mungkin meminta ibu bapa atau penjaga membuat laporan di Balai Polis berhampiran tempat kejadian sebelum pemeriksaan perubatan dijalankan.
Satu Langkah Perlindungan dan Penjagaan
Mendapatkan rawatan perubatan bukanlah satu tuduhan - ia adalah satu tindakan untuk melindungi. Pasukan hospital dilatih untuk bertindak dengan penuh empati, sensitif dan profesional, memastikan keselamatan, maruah dan kesejahteraan kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan pada setiap peringkat.

